Search This Blog

Pages

Thursday, May 10, 2012

Hari guru 2011

Bismillah…
1. Yang berbahagia En Roslan Bin Abd Rashid Yang dipertua PIBG Sekolah
2. Yang berusaha Pengetua Cemerlang Puan Nor Asikin Binti Md Shazilli, Tuan Pengetua SM Vokasional Juasseh
3. Yang dihormati En Sarimen Bin Sapiei GPK Pentadbiran Sekolah
4. Pn Zaidah Binti Danial, GPK Hal Ehwal Murid
5. Pn Rusnawati Binti Juda, Guru Penolong Kanan Ko kurikulum
6. Barisan Pendidik mithali SM Vokasional Juasseh dan
7. Rakan-rakan pelajar yang di rahmati sekelian

Alhamdulillah, seiring doa yang telah dibacakan tadi, setingggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan menghadap yang Esa kerana dengan limpah kurnianya kita dapat sekali lagi bersama –sama berkumpul dalam satu ikatan kekeluargaan yang begitu erat dan harmoni. Saya selaku wakil guru-guru SM Vokasional Juasseh ingin mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah atas semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam kerjasama 3 badan kumpulan pemimpin pelajar yang erat iaitu pengawas sekolah, pengawas perpustakaan dan pembimbing rakan sebaya dalam menganjurkan hari guru SM vokasional juasseh pada kali ini dan menyusun aktiviti dan agenda dalam menghargai jasa dan pengorbanan cikgu-cikgu mereka pada hari guru 2011.

Rakan-rakan perjuangan yang di kasihi sekelian,
Cikgu, Hari ini hari kita..cikgu. Selamat hari guru saya ucapkan kepada semua rakan-rakan pendidik mithali SMV Juasseh. Seperti biasa, tanggal 16 mei kita nantikan setiap tahun dengan harapan anak-anak kita menghargai kita. Jangan risau cikgu2, hari ini seperti tahun-tahun sebelumnya, hari ini kita di arak bagai pengantin, di ambil gambar persis artis popular. Hari ini hari kita cikgu, hari ini hari kita...., Terima kasih sekali kepada semua anak pelajar.

Warga dewan yang dihormati,
Dengan bertemakan guru penjana transformasi negara, tanpa dapat diselindung lagi, gurulah kumpulan yang disasarkan dan dipertanggungjawabkan terhadap anak-anak pelajar dalam menyahut cabaran dunia. Dengan berbekalkan sedikit ilmu yang di anugerahkan oleh Nya, guru memilih profession yang kian mencabar ini dalam mendidk anak-anak dengan penuh kasih sayang seolah penjaga kedua terhadap mereka. Hari ini, selepas majlis kita akan bermain, bergurau senda, memasak, menyanyi, dan melibatkan diri dalam segala aktiviti yang di anjurkan oleh kumpulan pelajar pada hari ini. Apa yang diharapkan ia dapat menjadikan hubungan yang telah sedia terjalin antara guru dan pelajar makin kukuh dan akrab. Sekaligus, hal ini dapat menjadikan proses pemberian ilmu di dalam kelas semakin mudah dan lebih berkesan.

Barisan pendidik yang dimuliakan,
Walaupun kadang2 kita lebih daripada seorang anggota polis apabila anak-anak didik kita masuk ke kelas, seraya kita pun berkata...(semua pelajar bangun...seperti yang telah dijanjikan, hari ni cikgu nak buat pemeriksaan terhadap kerjarumah yang cikgu berikan 3 minggu lepas, sila tunjukkan kerja rumah yang diberikan). Kemudian...kita lebih daripada seorang tentera apabila kita berkata...(oowwwh...apa yang kamu buat setelah 3 minggu cikgu bagi kerjarumah tapi tak siap...cikgu nak kepada yang masih tidak siap, sila salin dan buat kerja rumah yang sama sebanyak 10 kali, cikgu bagi tempoh masa 1 hari sahaja untuk kamu semua menyiapkannya. Jika kamu semua masih gagal berbuat demikian, cikgu akan ikat kamu kat tiang bendera sekolah di depan dataran pejabat). Kita juga seolah penceramah bebas yang tidak bertauliah... apabila anak kita nakal persis kelakuan seperti manusia yang tidak siuman di dalam kelas, lalu kita menegur dan menasihati seperti ibu bapa tiri mereka, seraya anak didik kita berkata...(soryle cikgu saya gurau aje...) lalu dengan marahnya kita menegur (...apa gurau-gurau, ada ke dosa gurau atau ada ke neraka gurau?)
Tapi anak-anak didik yang dikasihi sekelian, apabila sebaik sahaja waktu pembelajaran tamat dan disertakan ucapan salam dan terimakasih yang diberikan (walaupun dengan nada yang agak malas dan lemah) itu sudah cukup menjadi ubat penenang kepada cikgu-cikgu bagi melupakan seketika senario di dalam kelas yang berlaku di dalam kelas pada waktu itu.
Wahai rakan-rakan guru, jangan lah kita berputus asa kepada Allah. Kita yang memilih jalan ini..kita yang ditakdirkan di antara yang terpilih bagi mendidik anak-anak didik kita. Jangan terlalu mengharapkan balasan, kelak kita yang kecewa. Marilah sama-sama kita renungkan satu maksud ayat Surah Al-Imran ayat 139, yang membawa maksud….
"Jgnlah kamu bersikap lemah, dan jgnlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah org2 yg paling tinggi darjatnya, jika kamu org2 yg beriman."
(Surah Al-Imran ayat 139)
Teruskan cikgu, walaupun kita dicemuh dan dihina, sesungguhnya Allah sentiasa melihat jasa dan pengorbanan yang kita curahkan.



Yang berusaha pengetua cemerlang dan warga dewan yang dirahmati sekelian,

Saya selaku wakil guru-guru juga merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak pengurusan sekolah yang menyediakan medium dan ruang kepada para pelajar kita pada hari ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru mereka. Di samping itu, guru-guru juga dapat mengambil kesempatan ini untuk beramah mesra dalam melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti yang telah disusun selepas ini. Percaya lah rakan-rakan guru tentang satu perkara penting, ilmu yang diberikan, semangat ditunjukkan dan doa beserta kasih sayang yang dihulurkan merupakan kesinambungan senjata penting yang cukup-cukup berkesan bagi memacu arah tuju masa depan anak-anak kita.Oleh itu, jangan cikgu mempersia-siakannya
Ingat lah wahai anak-anak didik SM Vokasional Juasseh, Hari ini hari guru serentak satu malaysia. Hargailah mereka, dekatilah mereka pada hari ini dan ucapkanlah ucapan dengan kata-kata manis kepada mereka. Berikanlah hadiah kepada mereka jika mampu. Doakan lah mereka supaya segala dosa mereka diampunkan dan urusan pemberian ilmu kepada kalian dipermudahkan. Jika ada pertandingan selepas ini, bagi lah mereka menang...senangkan hati mereka. Ingatlah, guru hanya membimbing dan mengajar sedikit ilmu dan kepakaran yang telah di anugerahkan. Kamulah yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk mencorak kan masa depan kalian dari segala ilmu yang diperolehi. Ikutilah segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh meraka. Di harapkan dengan semua itu, anak-anak didik dapat menjadikannya sebagai bekalan dalam meneroka lautan kehidupan yang bergelombang di luar sana. Bersiap sedialah wahai adik-adik ku dalam mengharungi dunia tanpa sempadan, lantas pasanglah azam dan tekad bagi menyahut cabaran dunia di samping menjayakan hasrat murni satu malaysia.
Sekali lagi saya selaku wakil barisan pendidik SM Vokasional Juasseh ingin merakamkan sekalung penghargaan dan setinggi-tinggi tahniah diatas kejayaan 3 kumpulan pelajar badan pengawas, badan pengawas pusat sumber dan pembimbing rakan sebaya di bawah kerjasama kelab guru smv juasseh atas penganjuran yang begitu meriah yang disusun bagi kami guru-guru semua. Terima kasih diucapkan.


Terbang sekawan burung tempua
Membuat sarang dirumpun pegaga
Terima kasih kepada semua
Segala kerjasama amatlah berharga

Batu bernama si batu bata
Tempat hinggap si burung balam
Guru itu ibarat pelita
Memberi cahaya setiap malam



Saya akhiri dengan kata-kata cendiakawan negara
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.



Sekian terima kasih
Saya sudahi dengan wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warah matullah hi wabarakatuh

No comments: